BARISAN NASIONAL BARISAN KITA

Monday, April 19, 2010

Calon Bebas PRK Hulu Selangor, V S Chandran Tarik Diri

Bekas Naib Pengerusi MIC Bahagian Hulu Selangor V. S. Chandran menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini.

Chandran, 56, menyerahkan surat menarik diri kepada Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Beliau, yang digantung keanggotaan selama setahun oleh MIC, berkata akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan pada pilihan raya kecil itu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu sidang akhbar di sini, calon yang berhasrat menarik diri daripada bertanding perlu menghantar borang penarikan diri selewat-lewatnya 12 tengah malam ini.

Chandran yang tiba di Pejabat Daerah Hulu Selangor pada kira-kira 1.10 tengah hari bersama 15 penyokongnya berkata keputusan beliau menarik diri bukan atas desakan mana-mana pihak sebaliknya untuk menyatakan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).

"Selepas mengadakan perbincangan bersama beberapa rakan, sedara terdekat (anak dan menantu) dan sahabat politik termasuk bekas setiausaha sulit (Presiden MIC) Datuk Seri S. Samy Vellu...sebagai orang BN akan terus menyokong (BN) dan mengambil keputusan menarik diri," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang menarik diri itu.

Chandran yang telah berkecimpung dalam politik selama 25 tahun, berkata beliau tidak menyesal di atas penarikan diri dan berbesar hati untuk memberi laluan kepada calon BN dan mereka yang lain bertanding.

"Saya gentleman tidak ada desakan daripada mana-mana pihak, kehilangan wang deposit bukan menjadi masalah. Saya berharap rakyat Hulu Selangor boleh membuat pilihan yang bijak," katanya.

Seorang lagi calon Bebas Johan Mohd Diah, 31, pula dijadual membuka bilik gerakan bagi memulakan kempen dan membuka Facebook serta blog talian rakyat di Felda Sungai Tenggi petang ini.

Dalam reaksi segera terhadap keputusan Chandran itu, Samy Vellu berkata penggantungan keanggotaan Chandran akan ditarik balik dan tidak akan dipecat daripada parti seperti dirancang.

MIC menggantung keanggotaan Chandran selama setahun pada Oktober lepas.

Berikutan penarikan diri oleh Chandran, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor kini hanya membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Kamalanathan, Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Johan, anggota Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Shah Alam.Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac akibat barah otak.

No comments: